Malaysia Promas International Business Society (Promas) mensasarkan untuk mengembangkan kebolehpasaran produk buatan tempatan ke luar negara menerusi Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia (MIBS) 2024 dan Pameran Komoditi Import dan Eksport Malaysia 2024 untuk kali ke-19 pada akhir bulan ini.
Pengarah Urusan ES Management, Datuk Chong Chong Tik berkata, pameran selama tiga hari bermula 28 November ini akan melibatkan lebih 500 reruai termasuk perusahaan tempatan dan antarabangsa bagi meninjau pasaran import dan eksport dunia.
“Jika sebelum ini, hampir 90 peratus penglibatan terdiri daripada perusahaan luar, namun pada tahun ini, penglibatan syarikat tempatan melebihi 50 peratus kerana kami mahu membantu dan menyediakan platform untuk mereka teroka pasaran luar.
“MIBS 2024 akan memfokuskan kepada empat kategori utama iaitu pakaian dan fabrik, komoditi pintar, produk makanan kesihatan dan pelengkap serta makanan dan minuman,” katanya ketika ditemui dalam sidang media Pameran Komoditi Import dan Eksport Malaysia 2024,
Chong turut mengalu-alukan penyertaan usahawan tempatan yang berminat untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.
“Ini merupakan pameran import dan eksport pertama di Malaysia di mana kami membawa pembeli antarabangsa yang berminat dengan produk tempatan, dan kemudiannya dikomersialkan.
“Malah terdapat banyak testimoni kejayaan daripada usahasama yang dijalankan sebelum ini di mana ramai usahawan Malaysia berjaya kembangkan perniagaan mereka di China. Produk juga memainkan peranan penting bagaimana ia diterima baik oleh masyarakat luar,” katanya.
Pameran tersebut telah mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya, wakil daripada agensi kerajaan serta ahli, rakan kongsi dan lebih 50 persatuan perdagangan domestik dan antarabangsa.